Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) menurunkan tandatangan sebagai gimik Perasmian Tapak Senario Ampang di Ampang Point, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin nampaknya mengambil langkah ‘kunci mulut’ daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan partinya sehingga hujung bulan ini.

Alasannya, sekarang ini merupakan tempoh bertenang buatnya selepas kongres PKR yang berlangsung di Melaka awal bulan lalu.

“Saya dah buat kenyataan daripada kongres sampai 31 Disember 2019 ialah masa tempoh saya bertenang. Jadi, saya takkan buat kenyataan selepas 2020,” katanya kepada media selepas merasmikan Tapak Senario Ampang dan Santai@Ampang Point malam ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ampang itu menegaskan yang beliau kini dalam perancangan untuk mengadakan siri jelajah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ke seluruh negara bermula tahun depan.

Ditanya mengenai kenyataan rakan sejawatannya dalam parti, Tian Chua dalam satu wawancara kepada sebuah laman portal yang melahirkan kebimbangan tentang kempen ‘nakal’ dalam parti yang menggesa agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri, Zuraida menegaskan, ia hanya diputuskan oleh pimpinan Pakatan Harapan bukan ahli-ahli PKR.- MalaysiaGazette