GOH SUET LAN

KUALA LUMPUR -Setelah mencatatkan rekod prestasi cemerlang dalam memperkasakan wanita, pertubuhan bukan kerajaan, Women of Will (WoW), memulakan Program Pembangunan Usahawan yang bertujuan untuk meningkatkan mobiliti sosioekonomi wanita dalam kumpulan B40 menerusi pelbagai aktiviti perniagaan.

WoW telah diberikan status Organisasi Berkaitan Sosial (SPO) bagi ‘Social Impact Exchange’ (SIX), platform pasaran dagangan ‘pay-for-impact’ pertama di Malaysia yang bertujuan untuk menyalurkan sumber korporat yang belum diterokai ke dalam projek impak sosial yang tinggi.

Presiden WoW, Datin Goh Suet Lan berkata, teras utama program itu adalah untuk mengambil dan membantu wanita yang komited untuk mengubah diri, status sosioekonomi mereka, keluarga mereka dan dalam proses menyumbang kepada masyarakat.

Langkah berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu mereka yang dalam kategori pendapatan rendah B40, katanya. Ia mengajar kemahiran dalam pelbagai bidang seperti literasi kewangan, pemasaran, e-komunikasi, e-literasi, pemasaran langsung, memasak dan kemahiran asas seperti jahitan.

“Kami menumpukan usaha terhadap latihan kemahiran dan membina perniagaan, sehingga pada akhir nanti, mereka kukuh dari segi kewangan dan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka,” katanya kepada Bernama.

WoW adalah antara 19 SPO yang disenaraikan di SIX yang dikendalikan oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM), agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diwujudkan untuk membantu mencipta kekayaan melalui pengetahuan, teknologi dan inovasi.

AIM bertindak sebagai fasilitator antara sektor awam, swasta dan sosial dalam membina cara-cara baru dan kreatif untuk membangunkan model pembiayaan ini bagi penyampaian perkhidmatan sosial.

“Suatu kebanggaan diiktiraf di atas keupayaan kami melaksanakan program yang memberi kesan kepada mobiliti ekonomi sosial,” kata Goh.

Menegaskan bahawa WoW bukan hanya memberi pembiayaan tetapi juga menyediakan sokongan secara peribadi untuk wanita berkembang, beliau kata: “Kami mengambil wanita yang tepat untuk pekerjaan itu, dan mampu berkembang, anda mempunyai maruah untuk melakukan sesuatu kerana tidak hidup atas sumbangan tetapi berusaha mendapatkannya. ”

“Ia adalah hak anda kerana anda bekerja keras untuknya dan segala-galanya datang bersamanya, seperti keyakinan dalam komunikasi, dalam mencapai pasaran yang lebih luas, berkomunikasi dengan keluarga dan seluruh masyarakat,” katanya.

Melalui program ini, WoW akan menanamkan nilai menghargai nilai sokongan kewangan, mempelajari kemahiran baru, yang akan mereka amalkan untuk memulakan perniagaan kecil dengan sendiri.

“Akhirnya, mereka menjadi contoh positif kepada komuniti mereka kerana apabila wanita-wanita ini berjaya dari segi kewangan, mereka yakin dan berbangga, mereka menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.

Oleh kerana kebanyakan peserta adalah ibu tunggal, WoW memenuhi keperluan individu kerana mereka melakukan pelbagai tugas, harus mengimbangi kerja, keluarga dan anak-anak.

Bagaimanapun, Goh berkata komponen penting adalah penilaian impak kerana “tidak ada gunanya menjalankan program jika tidak dapat menilai impaknya, jika anda tidak dapat mengukur pencapaian itu, dan untuk menilai sama ada telah mencapai matlamat dan objektif anda. ”

Setakat ini program setahun yang berakhir pada Mei tahun depan dan dibiayai oleh YTL Corporation telah mendapat maklum balas yang baik daripada 50 ibu tunggal dalam kategori B40.

Wanita dari empat rumah pangsa kos rendah di sini – Sri Kota, Taman Mulia, Desa Tun Razak dan Raya Permai.

Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan makanan dan telah menunjukkan kemajuan yang ketara berdasarkan peluang untuk mengembangkan perniagaan kecil dan memperoleh pendapatan. – MalaysiaGazette