Abdul Rashid Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Cadangan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya Pilihan Raya Kecil (PRK)  tidak diadakan lagi selepas reformasi sistem pilihan raya adalah pelik sungguh.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bertanya, adakah cadangan ini susulan kekalahan teruk PH di Tanjung Piai dengan majoriti undi 15,086, juga kekalahan Pakatan Harapan di PRK Rantau, Cameron Highlands dan Semenyih.

Soalnya, adakah ini yang dimaksudkan dengan demokrasi era pemerintahan PH apabila pengundi tidak lagi diberikan kuasa untuk memilih wakil rakyat mereka sendiri selepas berlakunya kekosongan kerusi.

Ahli Parlimen Ayer Keroh itu bertanya mengapa Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) ini tidak memberikan fokus terhadap perundangan dalam pilihan raya, misalnya ‘gula-gula pilihan raya’.

“Bukankah ini pernah diperjuangkan PH bagi memastikan pilihan raya dapat dijalankan secara bersih, adil dan telus?,” tanya beliau.

Secara sinis, Ka Siong mengucap tahniah kepada Abdul Rashid yang membuat cadangan tersebut.

Katanya, Abdul Rashid adalah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, sebuah parti komponen di dalam Pakatan Harapan.

Menurut beliau, nampaknya, di bawah Malaysia Baharu, Malaysia merupakan satu-satunya negara tunggal di dunia yang mana pengerusi reformasi pilihan raya berasal dari parti pemerintah yang mengesyorkan pemansuhan PRK dan terus digantikan dengan parti yang menang di PRU. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lebih baik buat undang-undang haram YB lompat parti, kalau YB sudah lompat parti perlu dipecat dan penganti dari parti yang di menanginya.

Comments are closed.