Gambar hiasan

BANGI – Orang ramai di bebarapa kawasan yang terlibat dengan masalah gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu ada sebab untuk marah-marah.

Ini kerana, mereka mendakwa kesukaran yang dialami itu berpunca daripada sikap kerajaan negeri yang kurang ketegasan untuk bertindak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan masalah pencemaran logi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berlaku.

Malah, ada dalam kalangan penduduk yang tinggal di Bangi mendakwa, ketiadaan air seolah-olah menjadi perkara biasa yang berlaku setiap bulan sejak akhir-akhir ini dan penutupan secara besar-besaran hanya dibuat apabila berlaku pencemaran pada skala besar.

Seorang juru perunding, Shima Hashim, 49, berkata, beliau tidak faham dengan sikap kerajaan Selangor dalam menyelesaikan masalah pencemaran air yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa, masalah ketiadaan air sering berlaku di kawasannya di Seksyen 4 di sini dan perkara itu seolah-olah tiada kesudahannya.

“Menyusahkan jugalah, macam saya ibu tunggal tiada orang lelaki di rumah, macam nilah caranya ambil air sikit-sikit tuang dalam kereta nanti bila balik basah-basah bawa air tu masuk rumah.

“Saya tak faham macam kerajaan Selangor tak ambil tindakan sebab kita dah berulang-ulang kali kena (tiada air). Sungai Semenyih tu dah banyak kali tercemar, saya hairan kenapa tiada pemantauan di situ.

“Kita tahu masalah pencemaran dilakukan dari kilang-kilang yang ada disitu, tapi benada yang sama berlaku air tercemar. Bukan ke itu mengianiaya semua orang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Seorang penghuni di Flat Pekeliling di sini, Emma Susanti Sukiman, 37, berkata, ketiadaan suaminya di rumah kerana bekerja menyulitkan dirinya untuk mengangkut air yang dihantar oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) lebih-lebih lagi mereka mempunyai dua orang anak yang masih kecil.

Ujarnya, lebih azab lagi apabila yang diisi di dalam bekas seperti tong air hendak diangkut pula ke rumahnya di tingkat dua di flat berkenaan yang tiada kemudahan lif.

“Suami saya kerja, tapi kalau malam boleh dia angkat air. Macam saya perempuan manalah larat kudrat saya nak angkut tong berisi air yang berat ini,” ujarnhya.

Seorang pensyarah, Azli Mohsin, 52, pula berkata, ketiadaan air di rumah secara mengejut sejak beberapa hari lalu memang satu perkara yang membuntukan.

Ia ditambah pula dengan kedatangan sanak saudara yang bertandang ke rumah semasa cuti persekolahan ketika ini, membuatkan masalah yang dihadapi sangat merimaskan, katanya.

“Dahlah adik beradik saya datang dari Johor ditambah pula dengan anak saya sendiri yang ramai memanglah bila tiada air ni sangat menyukarkan.

“Lebih baik tiada letrik daripada tiada air. Air ni banyak gunanya,” katanya yang turut melahirkan rasa lega apabila Syabas mengaktifan Pusat Khidmat Setempat dan Pili Awam yang beroperasi 24 jam sehari di sini.

Sementara itu, seorang peniaga restoran, Mohamad Yusri Yaakub, 30 berkata, sejak ketiadaan air tiga hari lalu operasi peniagaan makanannya terpaksa ditutup dan pekerja-pekerja diberikan cuti.

Ujarnya, ketiadaan air merupakan satu masalah besar baginya yang menjalankan perniagaan jualan masakan tengahari dan disebabkan itu menutup operasi perniagaan buat sementara adalah jalan yang terpaksa dibuat.

“Nak tak nak memang terpaksa tutuplah kedai. Bekalan air ni bagi kami orang ni memang sangat penting. Bila tiada air memang sangat susah kalau nak emmasak dan sebagainya,” katanya yang turut merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Kelantan sehingga keadaan bekalan air pulih. – MalaysiaGazette