Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak didagangkan melepasi AS$60 setong menjelang pengumuman unjuran data Kerajaan Amerika Syarikat yang bakal menunjukkan stok minyak mentah menyusut dan Iraq pula menurunkan pengeluaran selepas Arab Saudi mengenakan tekanan kepada negara-negara pengeluar minyak supaya mematuhi pengurangan bekalan.

Niaga hadapan di New York stabil selepas meningkat 0.1% pada Isnin.

Stok minyak mentah Amerika jatuh sebanyak 1.7 juta tong minggu lalu, menurut satu kaji selidik Bloomberg sebelum data Pentadbiran Maklumat Tenaga diumumkan pada hari Jumaat. Data industri Amerika Syarikat diumumkan pada hari Selasa.

Iraq menurunkan jumlah pengeluaran sebanyak 110,000 tong sehari pada bulan Disember, menurut Petro-Logistics SA.

Harga minyak melonjak kira-kira 10% bulan ini selepas Amerika Syarikat dan China melaksanakan perjanjian perdagangan dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan rakan-rakannya termasuk Rusia bersetuju untuk meningkatkan penurunan bekalan minyak.

Inventori minyak mentah Amerika Syarikat mengecil walaupun negara ini meningkatkan paras pengeluaran dan penerokaan untuk menambah aktiviti pengerudian.

West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran Februari naik AS$0.02 kepada AS$ 60.54 setong di New York Mercantile Exchange. Kontrak itu menokok sebanyak AS$0.08 untuk ditutup kepada AS$ 60.52 pada hari Isnin.

Brent juga meningkat sebanyak AS$0.07 kepada AS$ 66.46 setong pada ICE Futures Europe Exchange.

Kontrak itu meningkat sebanyak AS$0.25 sen, atau 0.4%, ditutup pada AS$ 66.39 pada hari Isnin. Penanda aras global didagangkan pada premium AS$ 5.93 untuk WTI. – MalaysiaGazette