Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah membangkitkan persoalan sama ada pemansuhan elaun kritikal penjawat awam yang diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam turut melibatkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Dalam ciapan di laman Twitter Saifuddin turut menyatakan beliau bersetuju dengan ciapan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang meminta JPA menjelaskan isu tersebut dengan baik.

“Adakah ini termasuk Pegawai Tadbir Diplomat, ataupun tidak? Setuju dgn @DrDzul – ia perlu penjelasan daripada JPA,” katanya.

JPA pagi tadi telah mengeluarkan kenyataan dua muka surat menjelaskan pemansuhan itu hanya melibatkan penjawat awam 33 skim perkhidmatan yang dilantik selepas 1 Januari 2020 iaitu lima hari lagi.

BACA: Mansuh elaun: Penjawat awam bertambah malang

BACA: Pemansuhan elaun kritikal hanya babitkan pelantikan mulai 1 Januari 2020

Kenyataan itu juga menyebut bahawa pemansuhan itu bukan satu keputusan yang kekal sebaliknya ia boleh dilaksanakan semula mengikut keadaan semasa.

Dr Dzulkefly dalam ciapannya turut meminta JPA memberi penjelasan kerana pemansuhan tersebut turut melibatkan kementeriannya.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyatakan bantahan terhadap pemansuhan tersebut, malah beliau sanggup menyerahkan elaunnya.

BACA: Syed Saddiq pulangkan elaun, protes pekeliling JPA

– MalaysiaGazette