RIYADH – Pihak keselamatan Arab Saudi menembak mati dua orang pengganas yang dikehendali semasa serbuan dilakukan di tempat persembunyian mereka di bandar Dammam.

Insiden berlaku ketika polis sedang bersedia untuk menyerbu sebuah rumah di kawasan kejiranan Al-Anoud, di mana dua individu terbabit bersembunyi.

Sumber perkhidmatan keselamatan berkata, pengganas terbabit mula melepaskan tembakan dan dibunuh oleh pihak berliuasa keselamatan, lapor The Arab News.

Terdahulu, pihak berkuasa keselamatan telah mengepung kawasan tersebut bagi melindungi penduduk setempat dan mengarahkan kedua-dua pengganas itu menyerah diri.

Berikutan itu, agensi keselamatan dan jenayah mula melakukan siasatan di tempat kejadian.

Presiden Keselamatan Negara berkata, ia akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai insiden tersebut’ selepas mengumpul semua data yang diperlukan’.

Sumber lain berkata, pihak berkuasa keselamatan telah mengepung kejiranan yang terletak di timur laut bandar itu tiga hari lalu sebelum menyerbu sebuah rumah di mana dua individu yang dikehendaki dipercayai bersembunyi.

Pada Mei 2015, empat orang mati maut akibat letupan bom di sebuah masjid di kejiranan berkenaan.

Penyerang itu yang mengenakan pakaian wanita meletupkan diri di kawasan meletak kereta masjid itu.

Penyerang itu dikenalpasti sebagai Mohammed Al-Wahbi Al-Shammari merupakan anggota Daesh. – AGENSI