Anuar Mamat

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung (PACSU) kesal keputusan kerajaan memansuhkan elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada penjawat awam lantikan baru mulai tahun 2020.

Presidennya, Anuar Mamat berkata, arahan memansuhkan BIPK yang telah dinikmati oleh 33 Skim Perkhidmatan sebelum ini dikeluarkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 baru-baru ini.

Beliau yang juga Naib Presiden CUEPACS berkata, kerajaan sepatutnya  mengkaji elaun itu ke arah penambahbaikan, bukan memansuhkannya.

“Walaupun elaun ini masih lagi dinikmati oleh penjawat awam lama yang telah  diberi secara Khas Untuk Penyandang (KUP), tetapi seeloknya perlu dikekalkan mengikut keperluan dan keadaan semasa, bukan memansuhkannya bagi penjawat awam baru lantikan mulai tahun 2020.

“Tindakan kerajaan ini disifatkan sebagai membeza-bezakan antara penyandang lama dengan yang baru dilantik dan tindakan itu juga akan mewujudkan diskriminasi antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Anuar menjelaskan, skim perkhidmatan kritikal seperti doktor dan jururawat yang bertugas bukan sahaja secara syif, tetapi juga berisiko dengan pelbagai penyakit berjangkit dan sebagainya.

Skim perkhidmatan itu, katanya, amat penting bagi rakyat negara ini dan pemansuhan itu juga menyebabkan mereka atau lantikan baru akan tertekan dengan beban kerja yang ditanggung.

Selain itu, mereka juga berdepan dengan sikap dan karenah masyarakat yang mahukan perkhidmatan terbaik, tetapi kerajaan pula membeza-bezakan pemberian elaun antara mereka dengan yang senior.

“PACSU menyokong sepenuhnya kenyataan dan pendirian Presiden CUEPACS, Adnan Mat agar kerajaan mengkaji semula cadangan pemansuhan itu.

“Perbincangan dua mata dengan CUEPACS juga perlu kerana organisasi ini mewakili kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang merupakan tulang belakang kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast