Ibu pejabat NHK di Tokyo

TOKYO – Penyiar NHK menghantar satu berita yang salah, melaporkan bahawa Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu dan jatuh ke dalam perairan timur kepulauan negara itu.

Laporan itu dikeluarkan pada jam 12.22 tengah malam di laman sesawang NHK, berbunyi ‘Peluru berpandu Korea Utara telah jatuh dalam perairan kira-kira 2,000 kilometer di timur Cape Erimo, Hokkaido’.

Berita yang sama turut dihantar kepada pengguna telefon bimbit menerusi aplikasi NHK.

Bagaimanapun, NHK mengeluarkan permintaan maaf dan mendakwa ia adalah latihan media.

Isu berita itu muncul apabila Amerika Syarikat dan sekutunya di Asia Timur dalam keadaan tegang selepas Pyongyang memberi amaran pada bulan ini mengenai “hadiah Krismas”.

Washington menjangkakan ‘hadiah Krismas’ yang dimaksudkan adalah ujian peluru berpandu jarak jauh.

NHK telah membetulkan maklumat di platform berkenaan – termasuk televisyen dan radio dalam tempoh setengah jam.

“Kami memohon maaf kepada pengikut dan orang ramai,” kata NHK dalam kenyataannya yang disiarkan melalui laman sesawangnya sambil menjelaskan amaran itu bagi tujuan latihan.

Ia juga berkata, pihaknya akan menyemak semula prosedur bagi mengelak kejadian sama berulang.

Ini bukan kali pertama kesilapan itu dibuat kerana ia pernah terjadi pada Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette