Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan undang-undang yang lemah antara faktor cili import Vietnam masih lagi berleluasa dalam pasaran negara ini.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mendakwa, penyeludupan cili import tanpa kawalan itu menyebabkan kemerosotan pasaran cili tempatan, sekali gus menjejaskan pendapatan peladang dan peniaga.

Beliau mempersoalkan sejauh mana keberkesanan tindakan dan sekatan dilakukan pihak berkuasa bagi mencegah kemasukan cili impot beracun terutama dari Vietnam ke Malaysia.

“Sejauhmana pemantauan dilakukan dan apa tindakan diambil untuk membanteras aktiviti penyeludupan cili dari negara luar itu?,” soal beliau dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Che Alias berkata, beliau difahamkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehuddin Ayub ada menyatakan sehingga hujung tahun ini tiada lagi cili import Vietnam.

Namun, soalnya, mengapa kemasukan cili merah dari negara itu masih lagi didapati di pasar raya?

Beliau berharap, kerajaan terus melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan secara tegas dan konsisten termasuk kawalan permit import (AP) cili import secara ketat agar tidak mudah diselewengkan.

Beliau turut mengesyorkan kementerian berkenaan bekerjasama dengan agensinya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memperhebatkan promosi kelebihan cili tempatan berbanding cili import.

“Promosi beri kesedaran kepada masyarakat bahawa dari segi kualiti serta tahap kebersihan dan keselamatan cili tempatan lebih terjamin dari cili import yang menggunakan racun perosak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast