Masridzi Sat

KUALA LUMPUR – Kejayaan polis mendapat perintah mahkamah untuk membatalkan himpunan membantah tulisan Jawi oleh persatuan Cina Dong Zong adalah hasil usaha laporan besar-besaran oleh ratusan NGO Melayu Islam.

Wakil Gabungan NGO Melayu Islam Bangkit, Masridzi Sat berkata, persiapan ribuan orang Melayu, Islam untuk menghadiri mempertahankan bantahan Dong Zong terhadap tulisan Jawi, berjaya mendesak pihak berkuasa mendapatkan perintah mahkamah.

“Serahan notis perintah mahkamah oleh polis kepada Dong Zong dilakukan pada jam 5 petang semalam.

“Namun, sedih permit Himpunan Pertahan Jawi yang dimohon NGO ini tidak dapat diteruskan atas nasihat polis,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, polis telah mendapat perintah mahkamah tidak membenarkan Dong Jiao Zong menganjurkan persidangan membantah tulisan Jawi yang dijadualkan jam 1 tengah hari ini, atas alasan mengganggu ketenteraman.

Dong Zong dan Jiao Zong dalam kenyataannya memberitahu, pihaknya telah menerima perintah mahkamah itu dari polis pada jam 5.10 petang.

Sehubungan itu, kata Masridzi, himpunan NGO Melayu Islam yang dijadualkan di Stadium Kajang, dekat sini, pagi ini juga ditangguhkan dahulu sehingga suatu masa yang sesuai nanti.

Katanya, segala makluman terkini akan dimaklumkan kepada seluruh ahli dan orang ramai dari semasa ke semasa.

“Saya selaku wakil pihak penganjur memohon kemaafan atas perubahan ini, kerana segala yang kita atur telah disusun mengikut takdir dari Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast