Projek Solar Berskala Besar (LSS) kedua Tenaga Nasional Bhd’s (TNB) di Kedah di kawasan seluas 50 hektar di Bukit Selambau.

KUALA LUMPUR – Projek Solar Berskala Besar (LSS) kedua Tenaga Nasional Bhd’s (TNB) di Kedah yang dijangka siap sebelum akhir 2020, kini berjalan lancar dengan kemajuan pembinaannya sudah mencecah 84 peratus.

Terletak di kawasan seluas 50 hektar di Bukit Selambau, kira-kira 25 kilometer dari Sungai Petani, projek bernilai RM180 juta itu merangkumi pemasangan 134,880 panel solar fotovoltan yang mampu menjana tenaga sehingga 30 megawatt (MW), kata TNB dalam satu kenyataan hari ini.

Ia dibangunkan oleh TNB Bukit Selambau Solar Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn Bhd (TRe).

Projek itu telah dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pada Mac lepas.

Menurut TNB, pembinaan itu turut memberi kesan limpahan kepada kawasan sekitar seperti mewujudkan kira-kira 250 pekerjaan pelbagai kapasiti dan di peringkat kemuncaknya menyaksikan sejumlah 252 pekerja subkontrak akan digaji dengan 95 peratus daripadanya merupakan tenaga tempatan.

Pekerja TNB sedang memeriksa panel solar fotovoltan.

Projek LSS pertama TNB dan antara terbesar di Malaysia, terletak di kawasan seluas 98 hektar di Sepang, Selangor.

Kemudahan itu yang beroperasi sejak November 2018, memiliki kapasiti 238,000 panel solar fotovoltan yang mampu menjana tenaga sehingga 50 MW.

Selain projek LSS, TNB turut memasang panel solar di atas bumbung bangunan institusi pendidikan serta kerajaan, kediaman, perindustrian dan komersial.

Malah, TNB telah memperoleh kapasiti penjanaan lebih kurang 26 megawatt puncak (MWp) menerusi lebih 100 projek setakat ini.

TNB juga menyasarkan untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 1,700 MW menjelang 2025 menerusi kaedah LSS, pemasangan kemudahan solar di atas bumbung dan projek-projek RE lain syarikat tersebut.

“Inisiatif RE ini adalah sejajar dengan sasaran kerajaan untuk menjana 20 peratus daripada tenaga ini menerusi sumber RE menjelang 2025,” katanya.

— BERNAMA