Pengunjung, Nazihah Azizul, 28 melihat replika tren pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh di Stesen Kereta Api Ipoh, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ETS Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menikmati kadar tambang yang lebih berpatutan tidak lama lagi.

Ini kerana syarikat itu bakal memperkenalkan struktur tambang fleksi yang boleh memanfaatkan pelanggannya bermula 1 Mac ini.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, tiket bagi tambang fleksi ini akan mula dijual pada 15 Januari 2020 bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS di antara 1 hingga 31 Mac 2020.

“Pelaksanaan tambang fleksi tersebut akan memberi kelebihan kepada pengguna ETS untuk merancang perbelanjaan dan pengalaman perjalanan mereka dengan lebih baik yang mana ianya membolehkan pengguna mendapatkan tambang tiket perjalanan yang lebih menjimatkan mengikut pilihan dan citarasa masing-masing.

“Sebagai contoh, bagi perjalanan pada musim perayaan dan cuti sekolah, para pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang yang lebih rendah berbanding mereka yang membelinya pada saat akhir.

“Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi-promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa.

“Pelaksanaan struktur tambang fleksi tersebut telah diluluskan oleh Kabinet pada 18 September 2019 yang lalu setelah kajian terperinci dilakukan terhadap segala aspek terutama sekali berkaitan profil penumpang dan pengoperasian perkhidmatan ETS,” kata kementerian itu.

Tambah kenyataan itu, perkhidmatan tambang fleksi berkenaan juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik dan terus memilih pengangkutan awam seperti kereta api sebagai pilihan utama.

Menurut kementerian lagi, sebagai pengenalan kepada tambang fleksi ini, KTMB juga menawarkan promosi “Seleksi Tempat Duduk” percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan di antara 1 hingga 31 Mac 2020 ke semua destinasi.

Selain itu, kata kenyataan itu, KTMB masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), kanak-kanak berumur antara 4 hingga 12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba.

“Perkhidmatan ETS yang mula beroperasi di antara Kuala Lumpur dan Ipoh pada 2010 telah merekodkan seramai 215,000 pada tahun pertama pengenalannya.

“Sehingga kini, perkhidmatan itu yang telah dilanjutkan ke sektor Gemas dan Padang Besar berjaya merekodkan seramai 3.9 juta penumpang pada tahun 2018, sekaligus membuktikan popularitinya yang kian meningkat.

“Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kepada peningkatan populariti itu adalah ketepatan waktu perjalanan perkhidmatan ETS yang menepati sasaran melebihi 95 peratus, layanan khidmat pelanggannya serta kemudahan moden yang tersedia di dalam tren,” kata kementerian itu. – MalaysiaGazette