Surat Rayuan peguambela perayu iaitu Haniff Kathri kepada Menteri Kesihatan memohon Moratorium Larangan merokok di premis makan dilanjutkan sehingga Jun 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kesedaran Perokok meminta Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mempertimbangkan rayuan persatuan itu untuk melanjutkan tempoh moratorium pelaksanaan larangan merokok sehingga Jun 2020.

Tempoh moratorium itu sepatutnya tamat pada 31 Disember 2019 ini.

Pengerusinya, Mohd Hanizam Yunus berkata, rayuan itu dilakukan menerusi peguambela, Datuk Mohamed Haniff Kathri Abdulla kepada Menteri Kesihatan itu pada 24 Disember lalu.

Kata Hanizam, pihaknya kesal kerana sehingga kini tidak menerima sebarang maklumbalas berhubung status surat rayuan yang dipanjangkan untuk pertimbangan Dr. Dzulkefly.

“Memandangkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak Permohonan Semakan Kehakiman, kami telah difailkan dan masih wujud di Mahkamah Rayuan dengan pengurusan Rayuan ditetapkan pada 17.1.2020.

“Maka kami telah arahkan peguam kami Haniff Khatri untuk menulis kepada Menteri Kesihatan bagi tujuan memohon beliau melaksanakan budi bicara untuk melanjutkan tempoh morotorium ke atas pelaksanaan larangan tersebut yang sepatutnya tamat pada 31.12.2019 untuk dilanjutkan sehungga ke 30.6.2020.

“Tujuan permohonan lanjutan morotorium ini adalah untuk membolehkan Mahkamah Rayuan selesaikan proses dan bicara rayuan yang masih wujud di situ, agar tidak ada prejudis kepada kesemua pihak, sama ada pihak pelaksana kementerian mahupun pihak perokok,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hanizam berkata, pihaknya difahamkan bahawa surat permohonan lanjutan morotorium itu belum menerima keputusan daripada menteri.

“Berbesarlah hati kami sekiranya YB Menteri Kesihatan dapat mengeluarkan satu kenyataan yang positif, adil dan saksama terhadap permohonan kami ini sebelum 1 Januari 2020,” katanya.

Mohd Hanizam berkata, dia mewakili tujuh pemohon dan perayu yang mencabar Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan berhubung larangan merokok di kesemua premis makanan yang diwartakan berkuatkuasa 1 Januari lalu. – MalaysiaGazette