Khairul Dzaimee Daud

PUCHONG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan wujudnya pihak yang cuba untuk menjadi pihak tengah dengan mendakwa dapat mempercepatkan proses penghantaran pulang warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud, pihaknya mengesan lima orang cuba menjadi orang tengah dan telah memanggil mereka untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun katanya, tiada unsur penipuan yang cuba dilakukan.

Justeru kesemua individu dilepaskan tanpa tindakan selanjutnya, tambah beliau.

Beliau dalam masa yang sama, Khairul menegaskan, JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjadi perantara di antara PATI atau warga asing dengan jabatan itu sepanjang lebih kurang dua bulan B4G berlangsung.

“Sepanjang program ini kami ada terima beberapa kegiatan ejen yang menjalankan kegiatan seperti cuba mempercepatkan proses tetapi Back For Good ini dilaksanakan oleh JIM tidak ada sebarang ejen dilantik. Mereka yang didapati jadi ejen diambil kenyataan kemudian dilepaskan.

“Adalah empat hingga lima orang yang ditahan di Putrajaya, Wilayah, warga tempatan dan ada warga asing. Mereka tidak tipu dan sebagainya cuba jadi perantara,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu.

Untuk rekod, program B4G dimulakan sejak 1 Ogos lalu dan akan berakhir semalam bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat tertentu.

Mereka perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada Kedutaan Besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing sebelum menyerahkannya kepada JIM dan membayar kompaun RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal.

Terdahulu Khairul berkata, sepanjang B4G diadakan, seramai 190,471 warga asing yang berdaftar manakala daripada jumlah itu
165,041 orang telah pulang ke negara asal.

“Selebihnya akan pulang mengikut tarikh tiket perjalanan,” ujarnya.

Antara paling ramai menyertai program tersebut adalah yang berasal daripada Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.