KUALA LUMPUR – Program amal berkhatan percuma beramai-ramai kepada kanak-kanak yatim dan miskin yang kurang berkemampuan di Kemboja berjaya dianjurkan oleh NGO Hospital Terengganu di Pnomh Penh baru-baru ini.

Pengarah program Jejak Kemboja 2019, Muaz Mohd Noor, program berkenaan bertemakan ‘CSR, Infak & Wakaf’ itu memperlihatkan keprihatinan peserta terhadap penduduk Muslim di kampung tersebut yang mengalami kesukaran menjalankan khatan kerana belenggu masalah kemiskinan.

Menurutnya, program itu juga membantu meringankan beban masyarakat miskin selain memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan saling bantu membantu.

Antara NGO terlibat ialah Persatuan Pembelajaran Pasca Siswazah Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Persatuan Pembantu Perubatan Cawangan Terengganu, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu dan Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Terengganu telah menjalankan kolaborasi dengan Akademi Pengajian Islam (ACIS), UiTM Cawangan Melaka.

Sementara itu, Pengarah Program Khatan Nusantara, Dr.  Nujaimin bin Udin, menyifatkan koloborasi ini istimewa dan sangat baik dalam usaha menjalinkan hubungan antara Hospital Terengganu dan UiTM Melaka.

Pakar Perunding Bedah Neurosurgeri HSNZ itu berkata, kira-kira 200 kanak-kanak berjaya dikhatankan meliputi kanak-kanak lelaki dan perempuan, muslim dan bukan muslim meliputi lima buah kampung sepanjang misi itu diadakan.

Turut bersama-sama dalam program itu ialah Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Gastroenterologi HRPZ II, Datuk Dr. Rosemi Salleh bersama 30 pagawai dan pakar-pakar bertauliah dalam program sepanjang empat hari ini bermula 23 Disember tahun lepas.

Dalam program ini, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan beras dan wang tunai, selain mengadakan kenduri masyarakat secara bergotong royong.

Misi kemanusiaan dan kemasyarakatan yang disertai 55 sukarelawan ini turut menjalankan projek pembinaan 33 buah telaga, empat buah tempat wuduk masjid, sumbangan khatan kanak-kanak, pemberian alat tulis, kitab Muqaddam dan Kitab Surah-Surah, sumbangan berbentuk keperluan harian dan sumbangan wang tunai.

Jumlah keseluruhan wakaf, sedekah dan infak yang yang diterima daripada pelbagai pihak untuk program itu adalah sebanyak RM56,000.- MalaysiaGazette