Nelayan yang ditemui selepas terjatuh ke laut dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail,Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan. foto APMM

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari seorang nelayan yang disyaki terjatuh ke laut ketika menangkap ikan yang memasuki hari kedua, ditamatkan setelah mangsa ditemui masih selamat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, mangsa ditemui terapung dengan berpaut pada sebuah tong oleh sebuah kapal dagang MV EL ZORRO pada jam 5.45 petang semalam.

“Sebaik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menerima maklumat penemuan mangsa oleh sebuah kapal dagang pada kedudukan lebih kurang 12.7 Batu Nautika Barat Daya Tanjung Tohor, sebuah bot digerakkan ke lokasi yang dilaporkan dan menyelamatkan mangsa,” katanya menerusi Facebook.

Menurut beliau, Mohd Yatiman, 36 tahun masih lengkap berpakaian ketika ditemui.

Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat lebih kurang jam 8.50 malam tadi.

Mangsa yang berkeadaan lemah akibat lebih seharian terapung di dalam air dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette