Datuk Roslee Chik

GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan geng samun wang RM231,000 yang dibawa van sebuah syarikat kawalan keselamatan di hadapan bank di Sungai Nibong Kecil, dekat sini pada 16 Dis lepas yang didalangi bekas pekerja syarikat itu sendiri.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, polis menubuhkan pasukan khas dan menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan bank sebelum berjaya menahan dalang utama kejadian itu yang merupakan seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun di Teluk Kumbar, 25 Dis lepas.

“Susulan penahanan itu, polis menahan 11 lagi lelaki berusia 20 hingga 62 tahun dalam beberapa siri serbuan di sekitar negeri ini, Perak dan Pahang sehingga semalam. Berdasarkan siasatan, enam daripada mereka terbabit secara langsung dengan kejadian itu manakala lima lagi ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam kejadian 10.51 pagi 16 Disember lepas, dua lelaki bermotosikal melarikan sebuah beg berisi wang tunai RM231,000 dibawa pekerja sebuah syarikat kawalan keselamatan di hadapan sebuah bank di Sungai Nibong Kechil.

Roslee berkata, warga emas yang telah berhenti kerja sejak 2014 itu mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan curi kenderaan serta memiliki barang curi, dipercayai telah merancang bersama lima lagi suspek yang ditahan untuk menyamun wang dibawa van syarikat keselamatan berkenaan sejak November lepas.

Menurutnya, dua lelaki yang melarikan wang tunai dalam kejadian itu masing-masing memiliki lima dan tujuh rekod jenayah pecah rumah, curi, samun berkumpulan dan senjata api malah seorang daripadanya dikehendaki polis berhubung kes samun di Sungai Petani, Kedah.

Roslee berkata, polis turut merampas sepucuk pistol, sebutir peluru .32mm dan 20 butir peluru 5.56mm daripada lelaki warga emas itu serta menjumpai satu kelopak peluru pistol yang ditanam di belakang rumahnya.

Katanya, semua wang hasil samun itu dibahagikan sesama mereka dan dibelanjakan malah ada dalam kalangan suspek yang melabur dalam saham serta membayar hutang.

“Siasatan mendapati dalang utama menggunakan wang itu untuk membeli tiga buah motosikal jenis Yamaha Y15, Honda RS150 dan Honda CRF250 secara tunai bernilai RM35,000 untuk kegunaannya dan anaknya lima hari selepas kejadian tersebut.

“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis SYM BX110 yang digunakan dua lelaki ketika kejadian samun itu serta beberapa buah telefon bimbit, barang kemas bernilai RM15,000 yang dibeli menggunakan duit samun serta wang tunai RM12,300 iaitu baki daripada keseluruhan duit samun,” katanya yang menambah kes disiasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Roslee berkata, kejayaan menyelesaikan kes itu bukan sahaja disebabkan kecekapan polis malah ia juga atas inisiatif kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memasang CCTV di bahagian pulau sehingga membantu pihaknya menjejaki suspek terlibat.

“Bantuan teknologi itu sangat penting untuk kami, macam kes samun tersebut polis berjaya membongkarnya selepas mengesan bekas pekerja syarikat keselamatan yang merupakan dalang utama tersebut berada tidak jauh dari lokasi bank berkenaan dipercayai memantau semasa kejadian berkenaan,” katanya. – Bernama