Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis sosial yang sebelum ini lantang bercakap tentang sistem pendidikan negara, Siti Kasim meminta umum untuk berhenti bercakap tentang peletakan jawatan Dr Maszlee Malik.

Siti Kasim atau nama sebenarnya, Siti Zabedah yang juga antara yang vokal mengkritik Maszlee sebelum ini meminta semua pihak berhenti ‘membenci’ Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

Malah beliau turut mendedahkan dirinya tidak gembira dengan tindakan Maszlee meletak jawatan seperti tanggapan segelintir pihak.

“Saya tahu ada segelintir pihak fikir saya begitu gembira dengan peletakan jawatan oleh Maszlee ini. Percayalah, saya tidak gembira sebaliknya sedih kerana pengakhiran seperti begitu sekali.

“Saya sebelum ini menaruh harapan tinggi Maszlee melakukan perubahan besar dalam sistem pendidikan kita kerana kita semua sedia maklum betapa taraf pendidikan kita mundur dan rendah,” tulisnya dalam laman sosial Facebook beliau.

Siti Kasim menyambung, seharusnya umum perlu berhenti melakukan serangan berterusan terhadap Maszlee sebaliknya bergerak ke hadapan.

“Sudah tiba masa untuk berhenti membenci Maszlee. Kita semua harus bergerak ke hadapan. Saya cuma berharap penggantinya selepas ini akan lebih fokus serta mengambil tentang pelbagai isu berkaitan pendidikan yang telah dilontarkan oleh saya,” ujarnya.

Sebelum ini, Siti Kasim yang juga Pengasas Malaysian Action for Justice and Unity (Maju) dalam satu kenyataan pernah berkata tulisan Jawi itu tiada perbezaan dengan penulisan Sanskrit atau tulisan Latin.

Katanya, tulisan Jawi tidak sepatutnya mempunyai tempat sebagai subjek kokurikulum wajib dari sebarang segi.

Jelasnya, penulisan berbentuk warisan lama seperti Latin atau Sanskrit sebenarnya subjek yang perlu dianggap sebagai elektif serta mengikut kehendak murid itu sendiri.

Selain daripada itu, Siti Kasim juga pernah berpendapat tahap pendidikan di negara sudah jatuh mendadak kerana sistem ini seringkali dipolitikkan selama ini. –MalaysiaGazette