Kaunter ketibaan imigresen di klia2 yang sudah ditambahbaik keluasannya. foto MAHB

KUALA LUMPUR – Kawasan ketibaan imigresen di klia2 telah diperluaskan dua kali ganda daripada saiz semasa bagi meningkatkan kapasitinya.

Dengan perubahan itu, kini terdapat 58 kaunter imigresen serta kemudahan laluan untuk penumpang kurang upaya dan keluarga dengan anak-anak kecil.

Dalam kenyataan di sini, Malaysia Airports berkata, kemudahan baharu itu dibuka tiga hari menjelang Tahun Baru untuk menyambut kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ketua Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazaruddin berkata, peluasan itu dilaksanakan selepas mendapat maklum balas daripada para pelanggan dan pihaknya akan terus memberikan pengalaman penumpang yang lebih baik di lapangan terbang.

Katanya, kawasan imigresen itu kini mempunyai keluasan kira-kira 1,400 meter persegi dan boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu-satu masa.

“Ruang yang lebih luas ini juga akan menghalangi barisan imigresen daripada tertumpu di kawasan koridor yang berhubung dengan pintu masuk ketibaan, terutamanya semasa tempoh puncak,” katanya.

Kawasan itu melaksanakan snake queue system, bagi mengurangkan tempoh masa menunggu.

Selain itu, terdapat 10 pintu auto untuk pemegang pasport Malaysia.

“Dengan penambahbaikan ini, aliran penumpang lebih mudah dan kesesakan dapat ditangani,” kata Raja Azmi. – MalaysiaGazette