JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pam minyak di sebuah stesen minyak di Kampung Melayu Pandan di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira 6.26 pagi ini dan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT (Fire Rescue Tender) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas dan melanggar pam stesen minyak.

“Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah Prem Jayapal, 32, yang memandu kereta berkenaan manakala penumpangnya, juga seorang lelaki, masih belum dikenalpasti identitinya,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Khairul Azhar berkata, seorang lagi penumpang iaitu seorang wanita, C. Edriana, 20-an mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini oleh EMRS.

Beliau berkata operasi menyelamat kemudian ditamatkan kira-kira 7.40 pagi ini. – MalaysiaGazette