Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR-Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad menganggap Dr. Maszlee Malik berjaya melakukan reformasi sistem pendidikan walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Namun hakikat yang tidak mampu disangkal, dalam tempoh 20 bulan memimpin KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tiada seorang pun pemimpin sebelum Dr Maszlee berjaya lakukan pelbagai reformasi dan penambahbaikan yang beliau capai termasuk memperbaiki sekolah-sekolah dhaif di seluruh negara,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Paling epik, kata Dzulkefly berkata, Maszlee berundur daripada jawatannya tanpa menyalahkan mana-mana pihak dan tanpa dendam kepada sesiapa.

“YB Dr Maszlee Malik pastinya punya kesilapan-kelemahan seperti juga kami semua yang lain dalam ahli jemaah menteri.

“Menjadi jauh lebih rumit dan mencabar apabila tugasan kementerian pendidikan, acapkali terjebak di dalam menangani isu-isu yang saling bersilang tuntutan dan kepentingan di segi kaum, agama dan budaya,” katanya lagi.

Contoh polemik mutakhir adalah tulisan jawi dan juga isu pengiktirafan terhadap UEC. Semacam tidak berkesudahan, isu-isu ini sekaligus meninggalkan impak negatif terhadap kerajaan Pakatan Harapan, katanya.- MalaysiaGazette