Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook melawatn jejantas yang menghubungkan LRT Pasar Seni, MRT dan KTM KL.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di stesen kereta api Kuala Lumpur apabila mendapati hanya satu mesin tiket layan diri berfungsi manakala satu daripada dua laluan bergerak automatik (walkator) rosak.

Katanya, perkara ini bukan sahaja menyusahkan rakyat yang menggunakan pengangkutan awam tersebut, malah ia turut memalukan negara daripada perspektif pelancong, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Saya hendak rumuskan saya tidak puas hati dengan apa yang saya tengok hari ini. Baru sahaja setengah jam lawatan, saya dapati laluan bergerak automatik (walkator) itu baharu lagi, baru beroperasi dua bulan, tapi satu sahaja yang berfungsi. Tidak tahu kenapa. Ini tidak boleh diterima.

“Ini akan memberikan imej tidak baik kepada negara khususnya TM2020. Ini adalah stesen besar, stesen lama KL. Perkara ini memalukan,” katanya selepas melawat lawatan disstesen kereta api Kuala Lumpur hari ini.

Katanya dengan nada kesal, tidak ada guna kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk tambah baik  pengangkutan awam tetapi perkhidmatan masih ketinggalan.

“Kita mesti tekankan lebih terperinci, tidak ada gunanya kita buat projek besar, belanjakan berbilion ringgit untuk tambah baik trek dan stesen, tapi kalau serivs untuk orang awam kita masih ketinggalan jauh,” ujarnya.

Justeru Anthony menggesa pihak pengurusan atasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) nya, turun padang memeriksa semua kemudahan perkhidmatan syarikat dan memperbaiki mana-mana kemudahan yang tidak berfungsi di stesen tersebut.

“Saya mahu semua pihak yang terlibat terutama pengangkutan awam termasuk Prasarana MRT Corporation dan KTMB mesti lebih proaktif untuk bawa perubahan untuk perkhidmatan kepada rakyat.

“Ini bukan tugas menteri sahaja untuk periksa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga perlu proaktif. Saya akan arahkan semua CEO syarikat yang mengendali perkhidmatan ini (KTMB) untuk tengok sendiri. Mereka perlu lihat sendiri,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat jejantas Transit Aliran Massa (MRT) stesen Pasar Seni.

Anthony mengingatkan agar pihak pengurusan syarikat yang mengendali pengangkutan awam tidak lalai menjaga kemudahan awam mereka.

“Sebab inilah saya buat pemeriksaaan tanpa pegawai,” katanya. -MalaysiaGazette