Dr Hasnita Hashim

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta memberi penjelasan berhubung cadangannya untuk menutup entiti perniagaan di bawah agensi itu.

Ini kerana, cadangan berkenaan menimbulkan kekeliruan dan jelas bertentangan dengan matlamat asal penubuhan MARA.

Lagipun, kata, Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muzzammil Ismail, penglibatan MARA dalam sektor pendidikan juga sebenarnya adalah sebahagian daripada membangunkan modal insan untuk perdagangan dan industri.

MARA sejak Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 sinonim dengan kelahiran usahawan bumiputera melalui pelbagai aktiviti sokongan perniagaannya.

“Pengerusi MARA Dr Hasnita tidak boleh mengelirukan fungsi dan matlamat MARA, yakni pendidikan, juga untuk meningkatkan ekonomi Bumiputera!

“Dr Hasnita sebagai Pengerusi MARA selama 1.5 tahun sepatutnya menghargai fungsi MARA sedia ada. Beliau yang berlatar belakang ekonomi perbankan sepatutnya menumpukan MARA ke arah memperkasa ekonomi,” katanya.

Muzzammil berkata, surat yang dihantar kepada Perdana Menteri dengan mencadangkan kepada penutupan anak syarikat seperti MARA Corp dan penyusutan fungsi MARA yang memfokus kepada pendidikan semata-mata merupakan suatu cadangan yang tidak memenuhi tujuan memperkasakan agenda Bumiputera.

Beliau berkata, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina juga sepatutnya memain peranan yang terpenting dalam memastikan agenda asal MARA berada pada landasan yang betul.

Katanya, Rina janganlah berdiam diri apabila cadangan menutup perniagaan-perniagaan dan pelaburan-pelaburan MARA dibawa ke peringkat Perdana Menteri.

Portal FMT melaporkan MARA akan menutup aktiviti komersial dan surat kepada Dr Mahathir berhubung cadangan itu telah dihantar.

Menurut kandungan surat yang didakwa dilihat oleh FMT, Dr Hasnita memaklumkan MARA bukan berperanan untuk melabur dalam perniagaan dan ia tidak pernah diperuntukkan dana oleh kerajaan untuk berbuat demikian.

“Ia telah menggunakan dana yang dikumpulkan daripada pinjaman pelajar dan perniagaan untuk melabur dalam perniagaan, sesuatu yang tidak pernah ada kompetensi untuk melakukannya,” kata Dr Hasnita dalam surat tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast