Pasukan MY Gadis bergambar selepas menamatkan perlumbaan pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020

LANGKAWI – Kelibat kaum wanita selama ini hanya mendapat perhatian daripada peminat tempatan dalam sukan utama seperti badminton, renang, boling atau hoki.

Agar sukar untuk melihat golongan yang memiliki kehebatan diketengahkan sebagai pelayar wanita di tengah lautan yang bergelora.

Namun Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road yang berlangsung di sini menonjolkan aksi luar biasa enam wanita termasuk seorang simpanan yang merupakan satu-satunya pasukan wanita yang beraksi bersama 28 bot lain.

Dikenali MY Gadis, pasukan terdiri daripada kaum hawa terdiri daripada pelbagai profesion seperti ahli korporat, peguam, pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan suri rumah namun memiliki minat sama dalam pelayaran.

Diketua jurumudinya, Nor Zuhaira Ruhanie, dia melahirkan rasa syukur kerana impian untuk beraksi pada kejohanan pelayaran berprestij dunia itu sebagai pasukan wanita akhirnya tercapai.

Pasukan MY Gadis beraksi mengawal kapal layar semasa memulakan perlumbaan pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020

“Sejak dua tiga tahun lalu, saya dan beberapa rakan sudah berbincang dan bercita-cita untuk menyertai RLIR ini.

“Namun saya akui, MY Gadis ini adalah pasukan baharu yang ditubuh dan ada dalam kalangan kami baru sahaja saling mengenali.

“Kami tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan pertama kali yang disertai apatah lagi kekurangan latihan tetapi sebagai platform untuk menimba pengalaman,” katanya yang ditemui MalaysiaGazette sebaik berlabuh di Kelab Kapal Layar DiRaja Langkawi di sini hari.

Pada RLIR edisi ke-18 ini, MY Gadis tampil beraksi dalam kelas Sportsboats bersama tiga pasukan lain dari Malaysia iaitu MSA-MSN, UMT dan Navy 1 yang semua pelayarnya adalah lelaki dan pasukan campuran.

Ketua Pasukan MY Gadis, Nor Zuhaira Ruhanie bercakap kepada media selepas menamatkan perlumbaan pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020

Nor Zuhaira, 43, menambah, pasukan berterima kasih dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia dan jurumudi, Vincent Chan dari pasukan Mata Hari KL Registry yang merealisasikan impian MY Gadis di RLIR.

Jelasnya, pasukan itu berdepan halangan pada peringkat awal tanpa sebarang penaja dengan mengambil risiko membuat pendaftaran bertanding pada kejohanan itu.

Namun, MY Gadis bersyukur apabila terdapat pihak yang tampil untuk bekerjasama dengan mereka.

Peserta dari kumpulan MY Gadis mengemas kapar layar mereka selepas perlumbaan pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 18 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2020

Ditanya perbezaan beraksi dalam pasukan yang ke semuanya wanita berbanding pasukan campuran, Nor Zuhaira memberitahu, tiada apa yang membezakan gender ketika berada di lautan.

“Siapa sahaja jurumudi, ahli pasukan perlu mendengar arahan. Malah apa yang berlaku di atas bot kena bersikap profesional dan bila kembali ke daratan, apa yang terjadi perlu dilupakan,” katanya sambil memberitahu MY Gadis dilatih jurulatih, Hasslan Ismail.

Nor Zuhaira juga berharap lebih ramai kaum wanita menyertai sukan pelayaran pada masa akan datang dan dia mengakui ramai yang berminat namun tidak tahu untuk bermula. – MalaysiaGazette