Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

MACHANG – Gara-gara membuli dan memeras ugut sebanyak RM5 terhadap seorang pelajar sekolah agama, empat remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun direman dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, DSP Ganti Jimmy berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Izuddin Mohd Shukri selepas pihaknya berjaya menahan kesemua suspek petang semalam.

“Kejadian itu dikatakan berlaku pada 21 November tahun lepas namun selepas video berkenaan tular semalam, ahli keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 1.30 tengah hari.

“Hasil tindakan pantas, pihak kami berjaya menahan keempat-empat suspek di sekitar jajahan ini antara pukul 2 petang hingga 5 petang semalam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 384 dan 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Semalam, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp berkaitan sebuah video seorang remaja meminta wang daripada seorang pelajar sebelum mangsa memberinya wang sebanyak RM5.

Namun, kerana wang yang diberikan tidak mencukupi, remaja itu kemudiannya bertindak agresif dengan menyepak mangsa sebelum pelajar itu dihalau pulang ke rumah. – Bernama