Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diiringi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir bergambar kenangan bersama kakitangan Kementerian Kewangan ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan 2020 di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 10 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengekalkan penggunaan kereta Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi untuk menteri, timbalan menteri dan para pegawai kanan kerajaan selepas kekurangan stok kenderaan itu dapat diatasi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan perkara tersebut hari ini berkata, sebelum ini pihaknya terpaksa memberikan beberapa pilihan kerana Proton Perdana tidak mempunyai stok mencukupi untuk menampung permintaan.

Bagaimanapun kata beliau, kini masalah stok itu dapat diatasi dan Proton telah memberikan pengesahan pihaknya mempunyai kenderaan yang cukup ketika ini.

“Isu kereta rasmi ini sebenarnya lebih kepada pilihan sahaja sebelum ini. Apabila kontrak fleet ini dianugerahkan kita sebenarnya mahu mengekalkan penggunaan Proton Perdana tetapi syarikat pula tidak mencukupi stok.

“Jadi kita berikan pilihan, jika tiada Proton Perdana, ada pilihan lain. Itu sahaja. Sekiranya tidak cukup, kita beri pilihan.

“Tetapi kini sudah ada pengesahan kereta Proton Perdana itu mencukupi stok bagi menteri, timbalan serta pegawai kerajaan lain yang menggunakan kenderaan rasmi. Jadi, tidak ada masalah.

“Media janganlah gembar gemburkan perkara yang tidak benar pula, stok cukup jadi kita kekalkan Proton Perdana,” katanya kepada pemberita selepas beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementeri Kewangan hari ini.

Sebelum ini kecoh dengan berita kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan mewah untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Janji niaga itu akan menyaksikan peruntukan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Berita tersebut juga kemudian mendapat pengesahan daripada Guan Eng namun kata beliau pada penghujung tahun lepas, perkara itu hanya dipraktikkan sekiranya mendapat kelulusan kabinet.

Ketika ditanya kepada siapakah kontrak itu akan diberikan adakah kepada pihak yang sama, Guan Eng enggan mengulas sebaliknya berkata akan ada pengumuman dalam masa terdekat.

“Kontrak yang sama? Yang itu kita akan umumkan kelak. Sebenarnya saya tidak terlibat dengan pemberian kontrak tersebut. Nanti ada pengumuman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam nada meyindir berkata, rata-rata media berminat dengan soalan berkaitan penggunaan kenderaan rasmi kerana ia berkait dengan menteri dan timbalan menteri.

“Dalam isu ini, sebenarnya pegawai kerajaan juga akan menggunakan kenderaan rasmi tetapi fokus dan tumpuan hanya diberikan kepada menteri pula. Ini pilihan sahaja kalau tidak ada kenderaan itu, maka kita guna pilihan lain.

“Sekarang Proton Perdana ada stok, kita kekal guna Proton,” tegasnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Guna atau tidak kereta Vellfire, Honda tunggu keputusan kabinet