Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mengucapkan syabas kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membuat ‘pusingan-U’ selepas menangguhkan cadangan pemansuhan elaun kritikal penjawat awam dan memutuskan kereta Proton Perdana untuk kegunaan menteri.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, keputusan itu memberi kemenangan moral kepada rakyat Malaysia pada saat-saat ekonomi semakin tenat.

“Syabas diucapkan kepada kerajaan PH kerana telah membuat “pusingan-U” yang bijaksana demi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahir masih menaruh harapan supaya kerajaan mengkaji sebaik-baiknya usul pemansuhan elaun kritikal tersebut dan membatalkan cadangan tersebut demi kelangsungan pekerjaan anak-anak muda.

Jemaah menteri, tambahnya, harus meluangkan masa mereka untuk mengkaji usul tersebut, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga apabila usul berkaitan rakyat diletakkan di atas meja mereka.

Artikel berkaitan:Kerajaan kekal pakai Proton Perdana kenderaan rasmi – Guan Eng

Pemansuhan elaun kritikal ditangguh

“Harus diingat, gaji dan elaun besar jemaah menteri dibayar hasil cukai pendapatan rakyat. Rakyat juga tidak mahu melihat drama antara Menteri di luar mesyuarat jemaah menteri. Selesaikan isu dasar rakyat di dalam mesyuarat, bukan di media sosial.

“DPIM turut berasa lega apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Jemaah Menteri akan terus menggunakan kereta nasional negara, Proton Perdana, sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri.

“Keputusan yang dibuat kerajaan menunjukkan Jemaah Menteri akur dengan desakan rakyat dan menerima kritikan demi kesejahteraan ekonomi negara.

“Bayangkan jika kerajaan PH berkeras membeli kereta buatan negara luar yang mahal di saat rakyat disuruh mengikat perut,” ujarnya dalam satu kenyataan yang sama.

Beliau turut mencadangkan kerajaan fokus kepada ekonomi negara demi memperkukuhkan nilai ringgit, menarik pelaburan asing dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette