Datuk Mohd Zaini Hassan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) menyambut baik keputusan Perdana Menteri memangku jawatan Menteri Pendidikan.

Presiden PAUiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan merasakan kementerian itu harus dikendalikan dengan berkesan, strategik dan penuh berhemah kerana ia adalah tunjang utama menentukan kecemerlangan generasi Malaysia akan datang.

“Kami berharap Tun Dr Mahathir dapat memastikan dasar-dasar pendidikan kebangsaan dipatuhi dan diperkasakan.

“Pihak kami tidak mahu lagi melihat dasar-dasar itu diperkotak-katikkan mengikut ‘dasar peribadi’ setiap menteri yang menerajuinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAUiTM juga akhirnya mahu melihat cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) supaya meletakkan agensi pendidikan negara itu di bawah satu Suruhanjaya Parlimen bagi mempastikan dasar-dasarnya tidak boleh diubah dan diganggu-gugat mengikut acuan-acuan peribadi semasa, kata Mohd Zaini.

“Adalah menjadi harapan kami agar sistem persekolahan negara disatukan menjadi satu sistem kebangsaan tunggal bagi anak-anak Malaysia.

“Jika ini dapat dilakukan maka satu masa kelak tiada lagi juga institusi pengajian tinggi yang berteraskan ras atau kaum di negara ini.

“Kita harus ingat bahawa pembentukan sahsiah dan budi-pekerti kebangsaan sesuatu bangsa negara itu harus bermula dari peringkat rendah lagi.

“Kita wajib belajar dari negara-negara lain termasuk di Thailand, Indonesia, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat, Tanah Besar China dan di seluruh dunia yang hanya mempunyai satu sistem persekolahan kebangsaan,” jelasnya.

Menurut Mohd Zaini, rakyat tidak mahu lagi melihat masyarakat Malaysia masih lagi hidup dalam kelompok masing-masing akibat kesilapan yang kita sendiri lakukan pada sistem persekolahan negara.

“Jika iltizam politik ke arah itu tidak dilakukan mulai sekarang, maka 50 tahun lagi kami bimbang perbezaan jurang kaum di negara ini tidak akan dapat diselesaikan.

“Kami mengesyorkan sekiranya sistem tunggal itu tidak dapat dilaksanakan segera, kami mencadangkan agar diperkenalkan semula gagasan Sekolah Wawasan, cetusan idea Mahathir sendiri pada tahun 2000 ketika pertama kali beliau menjadi Perdana Menteri,” kata Mohd Zaini.

PAUiTM berharap semua pihak dapat memberi sokongan penuh kepada Mahathir agar tugas itu dapat dijalankan dengan berkesan.

“Kami percaya Mahathir mempunyai hikmah beliau untuk mengembalikan semua kecemerlangan pendidikan negara, yang semakin jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dr Mahathir pangku jawatan Menteri Pendidikan