Bekas mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya (dua kanan) bersama barisan ahli panel, Huda Ramli (dua kiri), Aizat Shamsuddin (kiri) dan moderator, Imran Rasid (kanan) berucap pada Majlis Kecoh Fest 2020 di Gerakbudaya, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Pihak berkuasa tidak perlu menyiasat G25 berhubung kritikan yang dilemparkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana itu hanya pendapat mereka.

Lantaran itu, menurut bekas mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya, gesaan pelbagai pihak agar G25 disiasat adalah tidak berasas.

Beliau berkata, G25 hanya menimbulkan persoalan tentang kewujudan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)  dan bukannya mengenai aktiviti yang dijalankan oleh Jakim.

“Tidak perlu disiasat dan mana yang baik, terima dan tolak yang buruk,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk ‘Islam tidak perlu dibela’ di Gerak Budaya, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pihak berkuasa menyiasat G25 jika kumpulan itu melanggar undang-undang kerana mengkritik dan mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya membantah keras laporan G25 mempersoalkan kewujudan MKI dan Jakim.

Katanya, G25 cuba mempolemikkan isu Islam dan bidang kuasa agensi Islam di peringkat persekutuan serta negeri untuk mengecilkan peranan Islam hanya sebagai urusan peribadi.

Mengulas mengenai perkara itu, Ismail berkata, Jakim sepatutnya mencari jalan bagi menutup mulut pengkritiknya.

“Sepatutnya pihak berkuasa Jakim buatlah sesuatu supaya ianya sah.

“Bila tidak disahkan penubuhan, memang orang akan kritik dan hentam.

Semalam, G25 menerusi kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” mendakwa kerajaan bertindak tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk penubuhan MKI dan Jakim.

Untuk rekod, MKI ialah pihak berkuasa tertinggi kebangsaan dalam penyelarasan mengenai pentadbiran Islam, manakala Jakim ialah sekretariat MKI. – MalaysiaGazette