Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap kepada media selepas hadir pada Perasmian Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 anjuran Parti Amanah Shah Alam di Stadium Rhino KV Arena, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan menjangkakan akan dapat menyelesaikan isu pembelian tanah di Kampung Baru, menjelang Jun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, ia berdasarkan kepada perkembangan positif lebih separuh daripada pemilik tanah sudah bersetuju dengan untuk menjual tanah milik mereka dengan nilai baharu yang ditawarkan kerajaan.

“Bulan enam ini akan kita selesaikan. Kalau tidak cukup korum, bagaimana kita nak buat, kalau tidak cecah 100 peratus bagaimana nak kita lakukan.

“Kalau dapat 100 peratus jelas, banyak pilihan yang kita boleh fikirkan supaya yang mana setuju tu kita terus dapat lakukannya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad, di Stadium Rhino KV, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, kerajaan akan bertindak memenuhi kemahuan semua pihak bagi memastikan tahap pencapaian 100 peratus dalam pembelian tanah di kawasan tersebut.

“Kita kena fikir orang yang jual tanah itu pun kita kena penuhi kehendak mereka dan kita kena faham bukan semua yang ada di Kampung Baru orang senang.

“Mereka memerlukan duit juga, ada yang mana OKU, anak yatim dan sebagai pemilik, mereka nak jual juga.

“Kita kena fikir kita boleh penuhi kehendak mereka tetapi dengan cara yang bermakna. Bukan kita beli tapi simpan, dan kita nak bangunkan,” katanya.

Minggu lalu, Khalid berkata pada masa ini, Kampung Baru Development Corp (KBDC) telah berjaya menghubungi hampir 50 peratus daripada 5,374 pemilik tanah, di mana 97 peratus daripada mereka bersetuju dengan tawaran harga terkini kerajaan.

Pada Oktober tahun lalu, kerajaan memberi harga baru iaitu RM1,000 bagi sekaki persegi untuk tanah di Kampung Baru.

Harga itu 15 peratus lebih tinggi daripada tawaran awal RM850, yang dikatakan lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.

Sehingga Disember tahun lalu, hanya 40 peratus daripada jumlah pemilik tanah yang bertindak balas terhadap kaji selidik KBDC dan bersetuju dengan perjanjian itu. – MalaysiaGazette