Temubual bersama imam masjid, Abdul Razak Wan Soh di Masjid Jamek Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2020,

PATTANI – Langkah bagi mencari perdamaian di tiga daerah di selatan Thailand boleh menjadi realiti sekiranya pemimpim-pemimpin agama Islam dapat memainkan peranan masing-masing dengan baik.

Ia termasuk tidak sesekali membangkitkan isu-isu yang boleh merangsang kepada fahaman pengikutnya serta tidak terlalu ekstrem dalam mengupas sesuatu tentang agama, kata Imam Masjid Patani, Abdul Razak Wan Soh.

Beliau berkata, sesuatu yang penting perlu diketahui oleh pemimpin agama ialah mereka harus tahu bahawa tindak tanduk yang ditunjukkan oleh mereka itu mampu mempengaruhi pengikutnya, apatah lagi jika sesuatu yang diterjemah itu dilakukan dalam bentuk penyampaian.

“Apa yang saya hendak fokus kepada pemimpin-pemimpin agama ialah mereka perlu memberikan kata-kata yang baik dan perlu berpegang betul-betul kepada ajaran agama.” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi tujuan itu Abdul Razak menggesa agar imam-imam masjid dan juga pihak majlis agama Islam di Pattani perlu bekerja kuat bagi memastikan penyampaian agama kepada masyarakat Islam dapat dilakukan dalam bentuk yang sewajarnya.

Dalam konteks krisis yang berlaku di Pattani yang mana agama dijadikan sebagai elemen untuk membakar semangat masyarakat Islam, Abdul Razak memberitahu, pemahaman daripada apa yang disampaikan oleh pemimpin agama di tempatnya tidak merujuk kepada maksud fahaman Islam yang sebenar.

Ujarnya, mereka menggunakan alasan tertentu hingga akhirnya timbul satu semangat luar biasa sehingga ada dalam kalangan pengikut mereka bertindak di luar batasan.

“Sekarang ini masih berlaku di mana rakyat di Pattani ini tidak boleh saling memahami serta masih ada yang tidak faham dengan bahasa Siam. Mereka lebih suka hidup dengan budaya dan cara mereka,” katanya.

Pada masa ini, usaha untuk mengembalikan kedamaian mutlak di selatan Thailand tidak digerakkan semula walaupun Malaysia masih kekal menjadi perantara menamatkan konflik di tiga wilayah bergolak.

Badan pemikir Thailand, Deep South Watch, menganggarkan sejak 2004, ketika mana pemisah bersenjata mula memberontak menentang kerajaan, kira-kira 7,000 nyawa melayang yang kebanyakannya adalah orang awam.

Kumpulan lain mahu negara Islam di wilayah selatan Thailand di mana kaedah perjuangan Al-Qaeda di seluruh dunia khususnya di Afghanistan menjadi sumber idea dan inspirasi.

Pihak tentera Thailand menuduh Gerakan Mujahidin Islam Pattani (GMIP) dan lain-lain kumpulan serpihan menjadi pembekal bahan letupan dan melatih ahli-ahli untuk meletupkan diri, menembak curi dan memasang dinamit pada motosikal dan basikal.

Sasaran utama ialah anggota tentera, polis dan sarang maksiat. – MalaysiaGazette