Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbual dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin pada Ceramah Bossku Basama Urang Kimanis sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Pimping, Membakut, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 11 JANUARI 2020
KIMANIS – Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PPS).

Demikian kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penjelasan mengenai tuduhan PSS dimulakan oleh BN.

Menurut beliau, meskipun perkara itu pernah dibangkitkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) suatu ketika dahulu, kerajaan BN telah menolaknya.

“Tidak, walaupun ada cadangan yang berbangkit setelah dibuat RCI, tetapi cadangan itu tidak diterima oleh Barisan Nasional.

“Bererti memang kita tidak ada niat untuk laksanakan PSS, tetapi Warisan-PH memang telah nyatakan bahawa inilah hasrat mereka, jadi itu satu yang dinafikan,” katanya lapor Awani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta membuat kenyataan balas berhubung sidang media Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Papar, pada Sabtu.

Dalam kenyataan Muhyiddin, PH mendakwa PSS merupakan ilham pemimpin BN dahulu, di mana ia dipanggil sebagai Pas Residen Sementara Sabah (PRSS) yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Bilangan 2 pada 31 Julai 2015.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai isu PSS, Najib menafikan tohmahan BN sengaja membawakan perkara tersebut di dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis untuk mengelirukan rakyat.

Malah, sebaliknya, BN mahu rakyat terutamanya pengundi di Kimanis menyedari hakikat PSS akan menjejaskan kestabilan semua aspek di Sabah.

“Ini memang satu yang dekat di hati rakyat, rakyat memang rasa begitu bimbang bahawa masa depan mereka, masa depan anak cucu mereka akan terjejas.

“Bukan itu sahaja, ia akan mengubah suasana dan landskap politik di bumi Sabah ini sama sekali,” katanya.

Semalam, meskipun hujan lebat, Najib berkesempatan mengadakan dua ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terletak di Kampung Pimping dan Batu Enam, Kimanis.

Kedua-dua ceramah itu turut dihadiri pemimpin tertinggi BN dan calon PRK Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.