Jentera WARISAN memasang papan iklan gergasi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2020

KIMANIS – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyelar tindakan parti Warisan yang menaikkan papan iklan gergasi berbaur provokasi di Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Menurutnya, ia satu sentimen yang tidak elok dan tidak sepatutnya dimainkan oleh parti politik yang rasional.

Antara papan iklan gergasi yang dinaikkan itu tertulis ‘jangan bawa budaya politik perkauman dan agama yang ekstrem di Kimanis’.

“Siapa yang nak bawa parti yang ekstrem? Tuduhan terhadap UMNO, terhadap Pas jangan bawa ekstrem agama… tidak ada… tidak pernah terbukti pun Pas itu bawa ekstrem agama malah UMNO pun bukan sebuah parti yang ekstrem.

“UMNO boleh bekerjasama dengan bangsa lain dalam BN… Orang Kadazan, Murut, Dayak dan etnik lain pun pernah bekerja dengan BN jadi tidak timbul soal ekstrem.

“Jadi saya rasa billboard sebegini harus diturunkan,” ujar beliau kepada media selepas berkempen di PDM Mawao semalam seperti laporan UMNO Online.

Ketika ditanya berkaitan perkembangan gerak kerja BN di sini Mahdzir berkata, semangat jentera amat tinggi dalam membantu kemenangan parti.

“PRK ini adalah satu PRK di mana BN bersaing dengan parti kerajaan jadi sudah pasti kita perlu bekerja keras.

“Saya dapati semangat jentera di semua peringkat berada dalam keadaan yang terbaik dan saya yakin kita mampu mencapai kemenangan di PRK ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette