Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Kenapa Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) tidak agresif untuk memberi tarikh tetap bagi peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan?

Persoalan itu dibangkitkan seorang peserta, Harnarain Singh Gill, yang mengikuti forum “Haruskan Malaysia tunggu sehingga November untuk peralihan kuasa?” di Bangsar malam semalam.

Beliau yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Media Minoriti (MiMe) bertanya kepada ahli panel forum itu selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan dipegangnya sejak 10 Mei 2018 dengan segera sekiranya MPPH menuntutnya.

“Ini membawa kita kepada persoalan, mengapakah Majlis Presiden Pakatan Harapan masih teragak-agak untuk melaksanakan peralihan ini,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau hairan kenapa ahli panel yang juga merupakan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) sendiri dalam forum itu menyatakan, terdapat banyak faktor baik dan buruk dalam peralihan kuasa termasuk aspek ekonomi serta pembentukan dasar dan kepentingan politik.

Kata Harnarain Singh, MPPH telahpun diberi mandat untuk membuat keputusan dan menetapkan tarikh peralihan yang ditetapkan secara kolektif.

Oleh itu, ujar beliau, Ahli Parlimen PH perlu memaksa pemimpin parti masing-masing yang berada dalam MPPH itu untuk menyegerakan proses peralihan tersebut.

“Seorang ahli panel menyatakan, mereka tidak dapat mengulas mengenai perkara itu kerana mereka bukanlah sebahagian daripada MPPH.

“Tetapi, perkara yang tidak boleh diabaikan adalah Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN telah mengundi pemimpin majlis tertinggi parti masing-masing, yang mana berada dalam MPPH adalah berdasarkan kedudukan mereka dalam parti.

“Sebagai wakil rakyat, mereka harus menggesa pemimpin mereka, bukan melepaskan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, hari ini rakyat berada di ambang Malaysia Baharu, bukan lagi dalam era Barisan Nasional (BN), di mana Perdana Menteri sahaja yang memutuskan penggantinya.

Kata beliau, apa yang dilakukan kerajaan terdahulu telah terbukti mencemar dan merosakkan kepimpinan negara sehingga ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Oleh kerana masa adalah faktor paling penting dalam peralihan ini, kami menggesa MPPH bersidang segera untuk menetapkan tarikh dan membuat pengumuman rasmi.

“Walaupun dalam masa singkat, suatu tarikh yang tetap akan membantu kerajaan, sektor perkhidmatan awam, pelabur tempatan dan asing serta rakyat mengukuhkan dan memimpin negara ke arah reformasi positif,” katanya. – MalaysiaGazette