Anggota bomba memadamkan kebakaran di satu kawasan di Londerang, Jambi. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri dan kerajaan tempatan termasuk semua pemilik tanah dinasihatkan memantau secara rapi kawasan mudah dan sering terbakar, kata Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).

Pemantauan yang rapi menurut kementerian itu perlu bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menceroboh dan membuat pembakaran terbuka.

Antara kawasan yang perlu dipantau adalah tapak pelupusan
sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Perubahan iklim dan pemanasan global yang berlaku dewasa ini
menyebabkan setiap negara kini terdedah kepada ancaman
kebakaran hutan dan kita perlu sentiasa bersedia untuk menguruskan keadaan tersebut.

“Berikutan keadaan cuaca yang lebih kering dijangka berlaku di
Semenanjung Malaysia, semua pihak dinasihatkan agar tidak
melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, kementerian melahirkan rasa sedih kepada krisis kebakaran yang berlaku di Australia mengakibatkan kerosakan besar melibatkan melibatkan kehilangan nyawa manusia dan hidupan liar selain kemusnahan kawasan berhutan.

Menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran maka KATS melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah Agensi Angkasa Malaysia (MySA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kawasan berisiko berlakunya kebakaran.

Kementerian itu juga bersama-sama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi membina telaga tiub (tube well) dan check dam di kawasan hutan yang berpotensi selain membina menara tinjau.

“Sehingga kini, sebanyak 85 telaga tiub telah dibina di Semenanjung Malaysia di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK), Tanah Kerajaan dan Tanah Milik.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga mengadakan latihan atau kursus mengenai pencegahan dan pengurusan kebakaran hutan kepada anggota Pasukan Semut Merah yang terdiri daripada anggota setiap Jabatan Perhutanan Negeri dan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia termasuklah menyediakan peralatan pencegahan yang lengkap.

Selain itu KATS juga mengadakan Kempen Pencegahan Kebakaran Hutan bersama-sama JBPM di seluruh negara.-MalaysiaGazette