Ketua Polis Daerah Beaufort, Azmir Abd Razak hadir pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Balai Polis Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2020

KIMANIS – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort telah membuka enam kertas siasatan daripada 11 laporan polis yang diterima pihaknya sejak 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, semua kes terbabit membabitkan pelanggaran Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM).

“Sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka mengandungi beberapa seksyen dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 seperti Seksyen 10 (Sogokan) dan Seksyen 4A(1) (Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan).

“Selain itu kesalahan fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 SKMM (Multimedia).

“Jika bersalah boleh disabitkan hukuman tidak lebih lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media di pekarangan Balai Polis Membakut hari ini.

Dalam pada itu, Azmir juga memaklumkan sebanyak 181 permit telah dikeluarkan kepada kedua-dua parti yang bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.

“Buat masa ini 181 permit telah dikeluarkan di mana Warisan sebanyak 112 permohonan permit manakala BN sebanyak 69 permohonan permit,” katanya.

Sementara itu, pihak polis turut menasihatkan jentera BN dan Warisan gar tidak menimbulkan ketegangan pada hari-hari terakhir tempoh berkempen.

“Pihak polis menasihatkan semua pihak yang bertanding agar bertenang, tidak sakit-menyakiti mana-mana pihak.

“Kita cuba bekerjasama agar dalam keadaan harmoni, agar kita tidak mempamerkan poster-poster yang boleh mengembang perasaan permusuhan dan tindak balas.

“Pihak yang bertanding perlu menasihatkan penyokong masing-masing dan tidak menimbulkan provokasi di antara satu sama lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette