Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

SHAH ALAM – Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan menahan empat individu dalam satu serbuan di Petaling Jaya, dekat sini pada Ahad lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 42 kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disembunyikan dalam 40 bungkusan teh cina dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

“Serbuan dilakukan kira-kira pukul 8.45 malam di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Dalam serbuan ini, tiga suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek lelaki warga asing berumur antara 28 hingga 39 tahun ditahan.

“Selain rampasan dadah, polis turut merampas dua kereta, wang tunai berjumlah RM127,725, 11 utas jam tangan bernilai RM31,000 dan mata wang asing bernilai 7,920 Baht. Jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan ini adalah RM259,791,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin

Mohd Khalil berkata, ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan judi.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak lapan bulan lepas dan polis sedang menyiasat sama ada sindiket itu menyasarkan pasaran tempatan atau untuk diseludup ke luar negara.

“Semua suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama