rpt

KIMANIS – Sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis di sepanjang Jalan Papar-Beaufort sejak awal pagi tadi bukan untuk menghalang peserta Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS).

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya hanya memeriksa kenderaan dan mana-mana pihak yang ingin menyertai himpunan tersebut.

“Buat masa ini tiada tangkap atau tahanan dilakukan, kita periksa dengan teliti.

“Bukan tak boleh masuk tapi kena periksa dulu kereta, kami benarkan masuk tapi kena periksa.

“Ia bagi memastikan mereka ini betul-betul ikhlas datang sini untuk hadiri atau sebab lain untuk sabotaj,” katanya kepada pemberita di Pekan Lama Membakut, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bertindak melakukan sekatan jalan raya selepas selepas pihaknya menerima laporan mengenai ancaman untuk menimbulkan kekecohan dalam himpunan itu.

“Sekatan jalan hari ini melibatkan 25 orang anggota polis.

“Sekatan jalan pasal ada maklumat keselamatan, begitu lah (ada orang bawa senjata) takut dibawa ke himpunan,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana pihak yang cuba mengancam keselamatan awam lebih-lebih lagi ketika kempen Pilhlihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Kalau libatkan keselamatan saya tak boleh tolak ansur.

” Takut ada elemen sabotaj, bawa senjata, keselamatan ini bukan sekadar pilihan raya saja,” katanya.

Ditanya tentang penularan mesej ancaman oleh seorang pengguna Facebook di mana pendatang tanpa izin akan menimbulkan kekecohan, beliau bagaimanapun berkata perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita masih siasat (ancaman pendatang tanpa izin) dan laporan ada diterima (mesej hasutan timbul kekecohan),” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya ada menahan seorang individu yang membawa replika parang semasa perhimpunan itu.

“Tadi saya satu (penahanan) dia kata nak buat persembahan, kita siasat dulu takut ada niat lain.

“Barang rampasan parang kayu, dia kata permainan saja kita siasat juga, perkara itu mungkin betul mungkin tidak.

“Prosedur polis satu panggilan ancaman kita akan siasat apatah lagi maklumat di media sosial berkata begitu begini kita akan siasat juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette