Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media Majlis Penyerahan Cek kepada JAKIM Untuk Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok dan Sekolah Agama Rakyat di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 15 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA- Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat tiada keperluan untuk Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Jelasnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah menyatakan akan meletak jawatan selepas APEC 2020 selesai.

“Perdana Menteri telah memberitahu beliau akan melepaskan jawatan selepas November. Ini adalah pada akhir tahun, tinggal sudah tidak berapa lama lagi

“Jadi kita ikut jadual yang beliau telah syorkan dan saya rasa kita harus pastikan peralihan kuasa itu dijalankan secara teratur dan tersusun.

“Hanya dengan cara ini barulah kita boleh pastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan licin. Saya rasa ini akan mewujudkan keadaan yang stabil kepada negara dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan sebanyak RM100 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kegunaan sekolah tahfiz, sekolah agama dan sekolah pondok di kementeriannya hari ini.

Yang turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Semalam, Perdana Menteri berkata, beliau bersedia melepaskan jawatannya sekarang sekiranya itu yang dimahukan oleh Majlis Presiden PH.

Artikel berkaitan: Jika Majlis Presiden mahu saya letak jawatan saya akan pergi, kata Tun Mahathir

Ini susulan desakan kuat oleh ahli-ahli PKR yang mahu peralihan kuasa segera dilaksanakan bagi membolehkan Presiden mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.- MalaysiaGazette