Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berucap pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pusat Komersil Kimanis, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2020

KIMANIS – Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman melahirkan rasa kesal apabila ratusan peserta Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS) gagal menyertai himpunan itu.

Beliau berkata, walaupun ribuan peserta berjaya menghadiri himpunan bantahan PSS itu, namun sekatan polis telah menjejaskan kehadiran dalam program anjuran dua badan bukan kerajaan (NGO) itu yang dihadkan kepada dua jam sahaja.

“Kita telah lakukan perjumpaan dan malangnya cuma 1,000 lebih yang dapat hadir oleh kerana sebahagian besar daripada mereka kerana sekatan jalan tidak sempat datang dalam perjumpaan itu,” katanya berucap Himpunan Muafakat Rakyat Sabah di Pusat Komersial Kimanis, di sini, malam ini.

Awal pagi tadi, ribuan rakyat Sabah yang berpakaian serba hitam membanjiri Pekan Lama Membakut bagi menyertai Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Pas Sementara Sabah (PSS), hari ini.

Walaupun pihak polis mengenakan beberapa sekatan di sepanjang Jalan Papar-Beaufort, namun ia tidak menghalang para peserta menyatakan protes pemberian PSS kepada warga pendatang tanpa izin (PTI). – MalaysiaGazette