KUALA LUMPUR – Isu peralihan kuasa tidak harus terus-menerus dibangkitkan kerana akan mengganggu tugas kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara, kata Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.
Katanya, biar Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) yang menentukan peralihan jawatan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri kelapan.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja keras pada tahun ini untuk memulihkan ekonomi negara agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Fokus ini tidak harus terganggu dengan isu lain termasuk perkauman dan agama yang sengaja dimainkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Mat Sabu menyatakan, reformasi yang dilakukan PH dalam pentadbiran kerajaan, berjaya menggembalikan kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Ini katanya, terbukti apabila The Straits Times Singapura semalam melaporkan, pelaburan asing ke Malaysia meningkat pada tahun lalu. – MalaysiaGazette
















