KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri sehingga satu penggal pilihan raya berakhir pada 2023.
Timbalan Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, pendirian itu dibuat selepas mengkaji pengganti Dr. Mahathir dalam masa terdekat ini gagal membela orang Melayu dan Islam daripada dasar yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri sejak 10 Mei 2018, tegas mempertahankan orang Melayu dan Islam dari tekanan serta ancaman DAP.
“Kita berpendirian Dr. Mahathir amat wajar kekal sehingga tamat tempoh sepenggal pilihanraya, dan tidak melepaskan jawatan tersebut Mei ini kerana beliau mempunyai sikap dan pendirian yang tegas mempertahankan orang Melayu dan Islam daripada tekanan dan ancaman DAP.
“Sekiranya pihak lain menggantikan beliau, orang Melayu dan Islam sebagai kumpulan majoriti akan terancam dan tidak akan selamat kerana dasar yang dibawa oleh kerajaan PH semakin menghakis dan mempersendakan orang Melayu dan Islam termasuk Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kenyataan Dr. Mahathir hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri bila-bila masa jika dikehendaki oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH), sebagai tidak wajar sama sekali.
“Ini akan menimbulkan suasana tegang dan bahaya kepada negara, keamanan akan tergugat dan ketenteraman negara akan bergolak,” tegasnya.
Beliau menegaskan, perpaduan ummah Melayu-Islam yang menjadi tonggak keamanan nasional pelbagai kaum adalah teras kepada keamanan negara yang sangat bernilai dan penting untuk dipelihara.
Oleh itu, dalam keadaan suasana perpaduan kaum semakin longgar dan rapuh serta semakin meruncing, umpama retak menanti belah dan seperti api dalam sekam, maka tindakan melepaskan jawatan Perdana Menteri seakan membawa kehancuran lagi kepada negara.
“Sikap tegas Dr. Mahathir sangat diperlukan dalam mengekang keadaan yang ada sekarang kerana kebanyakan pemimpin politik Melayu dalam PH hanya bersedia menjadi pak turut dan tali barut kepada DAP.
“Ini dapat dilihat apabila isu melibatkan kepentingan Melayu dan lslam berlaku, mereka hanya mampu membisu dan tidak mempertahankannya.
“Maka, ketegasan Dr. Mahathir waktu ini sangat perlu dan penting untuk terus menyelamatkan bangsa Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu dan negara dari terus terancam oleh dasar yang cuba menghakis orang Melayu dan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
















