Alizakri Alias

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan status pemilikan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, pihaknya menerima baik keputusan yang telah dimuktamadkan dan arahan jelas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan masa depan PLUS.

“Keputusan ini akan meredakan spekulasi yang lama berlarutan dan membolehkan semua pihak melangkah hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Alizakri, keputusan itu menunjukkan kerajaan amat peka terhadap keperluan melindungi kepentingan 14.6 juta ahli KWSP.

Pengurangan kadar tol juga membawa manfaat kepada ahli KWSP yang merupakan sebahagian besar daripada 1.7 juta pengguna harian lebuhraya PLUS, katanya.

“Kami ambil maklum permintaan kerajaan untuk melaksanakan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus seawal 1 Februari 2020. Memandangkan tempoh masa yang singkat dan
cabaran pelaksanaannya, kami akan bekerja rapat dengan PLUS dan pihak-pihak berkaitan untuk memenuhi permintaan tersebut secepat mungkin,” ujarnya lagi.

Alizakri seterusnya berkata, KWSP juga berada dalam kedudukan unik sebagai pemegang Sukuk PLUS.

“Oleh demikian, kami akan bekerjasama dengan pemegang-pemegang sukuk yang lain untuk memastikan kepentingan bersama dilindungi. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kami yakin pihak kerajaan akan menerima baik input daripada kami dan bertindak dengan sewajarnya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette