Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan hasrat menyaman Muhammad Yusoff Rawther.

KUALA LUMPUR – Pihak peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh hari ini telah menerima arahan untuk memulakan saman fitnah terhadap bekas pembantu penyelidik di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammed Yusoff Rawther.

Dalam satu kenyataan, Ramkarpal berkata, saman itu telah dimulakan beberapa hari lalu berkenaan kandungan Perisytiharan Berkanun (SD) yang dibuat oleh Muhammed Yusoff pada 19 November tahun lalu.

“Siasatan polis terhadap tuduhan di SD tersebut kini lengkap dengan Peguam Cara mengumumkan baru-baru ini bahawa Anwar tidak akan dikenakan tindakan daripada siasatan, saya akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memfailkan saman fitnah tersebut minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini Yusoff Rawther dalam satu sidang media berkata, beliau sedia untuk berdepan Anwar di mahkamah.

Malah beliau berkata tidak takut terhadap tindakan undang-undang yang mungkin diambil oleh Presiden PKR itu terhadap dirinya kerana peguamnya juga mempersoalkan alasan yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara untuk tidak meneruskan prosiding jenayah.

Selasa lalu Peguam Cara Negara, Datuk Tengku Nor Faiza Engku Atek dalam satu kenyataan media memberitahu, pihaknya bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dakwaan kes serangan mencabul kehormatan yang dibuat Muhammad Yusoff Rawther terhadap seorang ahli politik ditutup.

Yusoff pada 4 Disember lalu telah mengadakan sidang media mendakwa beliau telah diserang secara seksual oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kejadian di sebuah kediaman pada 2 Oktober 2018. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

“Anwar nak saman saya? Teruskan” – Yusoff Rawther

1 Komen

Comments are closed.