Mohd Zulkifli Abdul Fatah
Mohd Zulkifli Abdul Fatah

KUALA LUMPUR – Sekretariat Protem mahu Jabatan Pertubuhan Malaysia (ROS) berhenti meluluskan permohonan pendaftaran parti politik baharu yang berasaskan kaum.

Setiausaha penajanya, Mohd Zulkifli Abdul Fattah berkata, penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Malaysian Advancement Party (MAP) dan Minority Rights Action Parti (MiRA) adalah untuk kepentingan bangsa sendiri sahaja, bukan untuk semua kaum.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beberapa parti politik yang baru telah diluluskan oleh ROS seperti Putra untuk orang Melayu, MAP untuk kaum India dan MiRA yang hanya menerima kaum tertentu sahaja.

“Sedangkan Malaysia adalah negara pelbagai kaum, bahasa, budaya, agama dan etnik sehinggakan ianya unik dan perpaduan ini menjadi tunjang kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau memberi contoh, seorang pemimpin dari Parti Putra telah menjadikan hiasan tanglung sempena Tahun Baru Cina sebagai isu kontroversi untuk mendapatkan publisiti.

Bahkan, katanya, peguam itu juga menyatakan rasa bangganya dengan perhatian yang diterima melalui isu dicetuskan.

“Protem berpendapat isu perkauman seperti ini akan berterusan dan salah satu punca utamanya ialah kelulusan yang diberikan oleh ROS kepada permohonan parti politik berdasarkan kaum.

“Jika kita lihat parti politik aktif sedia ada seperti UMNO, MIC, MCA dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), penubuhan dan perjuangannya adalah berdasarkan kaum.

“Manakala DAP, Parti Amanah Negara (PAN), Pas dan Gerakan adalah parti yang dibuka kepada semua bangsa, tetapi didominasi oleh satu bangsa tertentu sahaja.

“Hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sahaja dilihat sebagai parti pelbagai bangsa,” ujarnya.

Menurut Mohd Zulkifli, Sekretariat Protem yang mengemukakan permohonan penubuhan Parti Patriotik National (PPN) berasaskan semua kaum kepada ROS setahun lalu, tidak mendapat sebarang reaksi.

Tetapi, ujarnya, permohonan parti berasaskan satu kaum dan bangsa cepat pula mendapat perhatian serta kelulusan.

Kata beliau, apa perlunya wujud begitu banyak parti berdasarkan satu kaum dan bagaimana mereka dapat membantu membina negara yang lebih inklusif serta sejahtera.

“Yang jelas, kebanyakan parti diluluskan ROS hanya memperjuangkan kepentingan berdasarkan satu kaum sahaja. Ini bercanggah dengan konsep Malaysia Baharu yang diidam rakyat.

“PPN percaya setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Negara untuk mendaftar parti politik.

“Bagaimanapun, ROS bertanggungjawab menapis dan mengawal kelulusan yang diberikan kepada parti politik supaya suara ektrimis dan radikal tidak menjejaskan keamanan dan perpaduan yang dibina selama ini,” katanya.

Kata Mohd Zulkifli, meluluskan lebih banyak parti berdasarkan kaum akan memberikan lebih banyak ‘pengacau keamanan’ platform untuk bersuara.

Ini, katanya, termasuk yang dilakukan oleh Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menjadi inspirasi kepada ekstremis baharu.

“Kemenangan beliau adalah kekalahan besar bagi negara kerana pengacau ini sedar isu sensitif yang mereka sentuh akan memberikan publisiti. Lebih lagi jika isu seperti itu dibiarkan sahaja tanpa tindakan tegas.

“Kebebasan bersuara yang mereka dapat di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah disalahgunakan untuk menimbulkan kekacauan dalam negara.

“Kami menyeru ROS tidak lagi meluluskan parti politik berasaskan kaum dan mengenakan syarat baru agar setiap parti yang hendak didaftar harus menerima ahli berbilang kaum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast