KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam, sebagai bukti kebangkitan rakyat yang kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan itu juga menguatkan lagi blok pembangkang untuk terus bersuara memperjuangkan rakyat Sabah di Parlimen dengan pertambahan kerusi Kimanis.
“Tahniah sekali lagi kepada calon BN (Mohamad Alamin) dan terima kasih kepada pengundi Kimanis,” katanya dalam kenyataan ringkas meraikan kemenangan BN hari ini.
Keputusan yang memihak kepada Mohamad semalam sekali gus mencatatkan kemenangan kelima BN selepas berjalan dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.
Mohamad menang dengan majoriti 2,029 undi undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi selepas selesai penjumlahan keseluruhan 70 peti undi.
Mohamad mendapat sebanyak 12,706 undi.
Jumlah majoriti itu meningkat berbanding PiRK-14 iaitu 156 undi di mana ketika itu kerusi Kimanis dimenangi Datuk Seri Anifah Aman yang ketika itu bertanding atas tiket BN.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar itu. – MalaysiaGazette
















