Haniza Mohd Talha

KUALA LUMPUR – Wanita PKR membidas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah, Datuk Johari Abdul bersama sembilan yang lain mendesak naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin dipecat.

Ketuanya, Haniza Talha berkata, semua 10 pengerusi negeri itu harus mencerminkan diri sendiri apabila mendakwa Zuraida tidak mendapat sokongan akar umbi.

Beliau berkata, tidak ada perkara baharu dibangkit kumpulan itu, melainkan mengulangi desakan agar tindakan Zuraida digugurkan dari parti.

“Saya ingin segarkan semula ingatan mereka yang pelupa ini mengenai sokongan akar umbi dengan harapan dapat mencermin diri sendiri dan paling utama maksud pemimpin dilantik dan pemimpin dipilih itu dapat dihadam.

“Jika keputusan pemilihan parti pada 2018 dijadikan ukuran, Johari yang kini Pengerusi MPN Kedah sendiri tewas tiga penjuru di Cabang Sungai Petani dan turut tewas di tangga keenam untuk jawatan Naib Presiden PKR Pusat.

“Jumlah undi diperolehnya hanya 9.9 peratus dari keseluruhan hampir 500,000 undi diterima calon naib presiden. Namun kini, beliau yang paling gah dan bising mulutnya walau hanya dengan jawatan lantikan sebagai Pengerusi MPN Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan 10 pengerusi PKR negeri yang membuat desakan terbuka agar salah seorang naib presiden mereka digugurkan.

Desakan itu dibuat kira-kira sejam selepas Lembaga Disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida.

Dalam kenyataan itu, Johari berkata, mereka mengadakan pertemuan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan sebelum itu.

Hasil pertemuan itu, katanya, bersetuju untuk mendesak agar Zuraida dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti serta mengkritik keras presiden mereka, Anwar Ibrahim.

Menurut Haniza, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh juga tidak bertanding peringkat cabang dan turut gagal merebut jawatan Ketua Wanita PKR Pusat namun dilantik sebagai Pengerusi MPN Pahang.

Begitu juga, katanya, Pengerusi MPN Johor, Syed Ibrahim tewas di cabang dengan hanya mendapat 271 undi dan berada ditempat ke-29 dalam merebut jawatan MPP.

“Pengerusi MPN Perak, Farhash Wafa Salvador pula hanya menang 266 undi di cabang Kuala Kangsar dan kalah teruk di tangga ke-69 bagi jawatan MPP.

“Mereka ini adalah segelintir pimpinan lantikan yang mendesak pemimpin (Zuraida) yang mendapat sokongan padu anggota akar umbi dipecat.

“Beliau adalah Naib Presiden PKR dipilih anggota parti seluruh negara yang mendapat undi kedua tertinggi dan di peringkat cabang telah memobilisasi ribuan anggota sewaktu pemilihan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan beberapa pimpinan yang melanggar peringatan Presiden supaya tutup mulut dan fokus kepada kepentingan perjuangan.

“Saya saran mereka sedar diri dan tidak campur tangan dalam pengurusan parti. Lembaga Disiplin telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Zuraida dan langkah seterusnya akan difikirkan dan dilaksanakan mengikut pertimbangan beliau sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.