KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dilantik sebagai pengerusi yang baharu NGO itu berkuatkuasa semalam.
Menurut Setiausaha Agung UMMAH, Mansor Ibrahim, pelantikan Mohd Zai dibuat demi memastikan NGO berkenaan terus dipimpin ke era baru kegemilangan umat Islam di rantau nusantara.
Kata beliau, UMMAH yang ditubuhkan sejak 2017 adalah gabungan dari ratusan NGO yang konsisten memperjuangkan isu semasa yang menyentuh kepentingan umat Islam dan negara.
“Bertunjangkan prinsip dan matlamat Islam adalah yang tertinggi, maka UMMAH telah mengambil ketetapan untuk memantapkan sistem kepimpinannya.
“Mesyuarat Sekretariat UMMAH pada 19 Januari 2020 telah melantik Mohd Zai Mustafa sebagai Pengerusi UMMAH yang baru demi memastikan UMMAH terus memimpin umat menuju ke era baru kegemilangan umat Islam di rantau Nusantara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Jelas beliau, antara isu semasa sedang ditangani UMMAH adalah menentang cadangan kerajaan menghapuskan hukuman mati mandatori dan mempertahankan tulisan Jawi.
Selain itu, kata Mansor, perjuangan UMMAH juga untuk menghapuskan ideologi komunis dan teroris, menentang agenda IFC memurtadkan umat Islam, menggerakkan kempen ekonomi Islam (BMF), memperjuangkan hak ekonomi dan biasiswa untuk Bumiputera, mengukuhkan status institusi Islam dan Syariah.
“UMMAH juga memperjuangkan untuk menghapuskan sekolah vernakular, mempertahankan sistem raja berperlembagaan, keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassin dan mengukuhkan perpaduan umat Islam nusantara.
“UMMAH akan terus memperjuangkan agenda memartabatkan Islam dan memperkasakan orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette