Cintaiku menjadi lagu tema drama Camelia yang bersiaran di slot Samarinda, TV3.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datin Alyah tidak perlu lagi diperkenal kerana cukup sinonim dengan muzik genre balada selepas kejayaan beberapa single sebelum ini meletakkan namanya  di kelas tersendiri.

Muncullah beberapa ramai penyanyi baharu dalam industri muzik negara, nama wanita berusia 39 tahun ini tetap utuh dan kekal relevan sehingga ke hari ini.

Malah Alyah juga cukup bertuah apabila mendapat lagu yang kuat dari segi melodi dan lirik sekali gus berjaya melangkah jauh seperti pentas Anugerah Juara Lagu.

Memasuki tahun 2020, penyanyi kelahiran Johor ini menyifatkan sesuatu yang cukup manis dan bermakna apabila dia muncul dengan single berentak balada, Cintaiku yang dilancarkan secara rasmi pada 16 Januari lalu.

Menariknya, lagu itu dipilih menjadi lagu tema dan diperdengarkan serentak dengan tayangan hari pertama drama Camelia yang bersiaran di slot Samarinda, TV3 sebanyak 15 episod terbitan Saphire Screen Sdn. Bhd..

Bagi Alyah, lagu ciptaan bersama Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dan lirik oleh Arisz Ab Rahman, Datin Hasniza yang juga penerbit Camelia dan Ikhwan itu memberikan kelainan kepada warna vokalnya.

“Muzik lagu ini masih dalam kategori balada. Kalau bercakap soal kekuatan, dalam lagu ini vokal saya menjadi lain.

“’Key’ yang dipilih untuk lagu ini mengubah ‘tone’ suara saya. Pendek kata, bunyinya tidak seperti lagu saya sebelum ini. Saya yakin, bagi yang kali pertama mendengar akan cakap suara saya lain.

“Namun, saya ingin puji karya ini kerana melodi yang sangat menarik. Pada bahagian korus lagu ini pasti akan mudah diingati,” kata isteri kepada komposer terkenal, Datuk Ramli MS.

Alyah kali kedua bekerjasama dengan Ikhwan sebagai komposer.

Berkongsi mengenai projek single terbitan dan edaran syarikat rakaman, Nova Music (M) Sdn. Bhd. itu, Alyah berkata ia terjadi secara kebetulan.

“Sejujurnya, lagu ini tidak ada dalam perancangan saya untuk tahun ini. Kalau ikutkan saya memang nak muncul dengan single baharu, tapi bukan awal tahun dan genre balada.

“Mungkin inilah yang dikatakan rezeki apabila pihak Nova menghubungi pegawai perhubungan awam saya dan menawarkan lagu ini. Mereka juga maklumkan lagu ini bakal menjadi lagu tema drama.

“Malah, melihatkan perancangan yang diatur untuk lagu ini, saya menjadi lebih yakin. Mereka ada sesuatu yang besar untuk lagu ini dan bukan sekadar rakaman. Paling penting, bekerjasama dengan Nova sangat mudah. Mereka tak banyak kerenah,’ katanya.

Alyah yang kali kedua bekerjasama dengan Ikhwan menyifatkan komposer lagu Kisah Cinta Kita itu seorang yang genius dalam bidang penciptaan lagu.

“Bekerja dengan Ikhwan, dia beri apa yang kita ada. Dia tahu ada kelebihan yang lain dalam diri yang belum dikeluarkan, jadi dia gunakan itu.

“Dalam erti kata lain, ketika menghasilkan lagu itu dia sudah membayangkan penyanyi lagu berkenaan. Dia berbeza dengan komposer lain,” katanya.

Sementara itu, khas buat peminat Alyah, Cintaiku edaran Nova Music ini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, Youtube Music, Joox, Deezer Music & KKBOX.

Lirik video rasmi Cintaiku kini boleh juga ditonton di Youtube channel Nova Music. – MalaysiaGazette

Projek single Cintaiku adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman, Nova Music (M) Sdn. Bhd.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast